Perutusan Pengarah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,.
Sebagai Pengarah Imigresen Negeri Johor, saya ingin menekankan kepentingan menjaga keselamatan negara dan integriti setiap kakitangan kami dalam memastikan pintu masuk selatan negara sentiasa dikawal dengan penuh kewaspadaan dan tanggungjawab. Negeri Johor yang terletak di sempadan dengan negara jiran, memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama pelawat dan pelabur yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam melaksanakan tugas ini, setiap warga kerja Jabatan Imigresen Negeri Johor hendaklah terus mengutamakan dasar keselamatan negara yang telah digariskan oleh kerajaan. Komitmen kita dalam memastikan kelancaran proses imigresen yang berintegriti adalah asas kepada keyakinan rakyat serta meningkatkan kualiti penyampaian secara sistematik demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai penjaga pintu masuk negara, adalah tanggungjawab kita untuk memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi tanpa kompromi, sambil menyediakan perkhidmatan yang efisien, mesra, dan profesional. Tanggungjawab kami bukan hanya untuk mengawal pergerakan keluar masuk warga asing, tetapi juga untuk memastikan setiap urusan dilakukan dengan cekap, adil, dan mengikut undang-undang.
Marilah kita sama-sama mengekalkan perkhidmatan yang berkualiti selaras dengan prinsip Malaysia Madani, yang menekankan kesejahteraan, kemakmuran, dan keharmonian bagi semua rakyat. Dengan tekad dan semangat kerja berpasukan, saya yakin Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor akan terus berkhidmat dengan penuh komitmen demi keselamatan negara, kesejahteraan rakyat, dan kemakmuran negara.
PENGARAH IMIGRESEN NEGERI JOHOR